fbpx

Agar-Agar Santan

Chef Lin

Sajian pencuci mulut seperti agar-agar memang tidak jemu dimakan. Apatah lagi bila ia mempunyai dua lapisan seperti Agar-agar Santan. Membuatnya agak sukar bagi yang tidak biasa tetapi pada pandangan saya, jikalau anda boleh membuat agar-agar biasa, anda pasti boleh membuat agar-agar ini.

Lapisan bawah mesti dimasak terlebih dulu. Anda boleh warnakan hijau dengan perisa pandan, jika mahu. Caranya adalah mengisar 6 hingga 7 helai daun pandan dengan air. Kemudian tapiskan dan tambah air mengikut sukatan di dalam resepi. Tambahkan sedikit pewarna hijau supaya warnanya lebih terang. Elakkan dari menggunakan esen pandan di dalam agar-agar kerana ada kala baunya agak ‘palsu’ atau artificial. Malah lazimnya berbau bahan kimia.

Pastikan agar-agar mendidih dan serbuknya hancur sebelum menuangkan ke dalam loyang. Loyang hendaklah dibasahkan dengan air terlebih dulu. Buangkan baki air dan terus tuang agar-agar. Anda tidak perlu mengelapnya kering-kering. Air tadi akan memudahkan bila anda ingin mengeluarkan agar-agar dari loyangnya nanti.

Sementara menantikan lapisan bawah keras atau istilah sebenarnya untuk agar-agar iaitu set, anda boleh sediakan lapisan bawah. Caranya sama seperti memasak agar-agar biasa. Namun pastikan apinya sederhana perlahan kerana santan mudah meruap. Kacau tanpa henti hingga mendidih dan serbuk agar-agar hancur.

Jikalau bahagian atas agar-agar merah sudah keras, goreskan dengan garfu. Ini untuk memudahkan lapisan atas melekat. Jika anda terlebih gores, tidak mengapa. Jika goresan tidak begitu dalam, lapisan atas mungkin tidak melekat dan mudah terasing bila dipotong. Seelok-eloknya, senduk agar-agar bersantan ke dalam loyang perlahan-lahan. Kemudian biar sehingga ia sejuk.

Andaikata agar-agar yang masih panas atau suam dimasukkan ke dalam peti sejuk, ia akan mudah berair setelah dipotong atau dibiarkan lama pada suhu bilik. Ini harus dielakkan sekiranya anda ingin menjamu kawan-kawan di majlis buffet atau membawa agar-agar untuk berkelah.

Oh ya! Sukatan gula di dalam agar-agar juga terpulang pada citarasa individu. Secara peribadi, saya lebih sukakan agar-agar yang tidak begitu manis. Jadi, jikalau anda sukakan agar-agar lebih manis, tambahkan gula. Rasalah agar-agar dan masukkan gula lagi jikalau kurang manis.

Seperkara yang harus diingat bila membuat agar-agar dengan gula merah. Anda mesti menapisnya sebelum dituangkan ke dalam loyang. Ini kerana selalunya ada bahagian gula merah yang tidak larut walaupun setelah agar-agar mendidih. Satu cara lagi adalah memasak terlebih dulu gula merah dengan sedikit air hingga mendidih dan larut. Kemudian ditapiskan ke dalam air baru dimasukkan serbuk agar-agar dan lain-lain.

Jika menggunakan santan segar yang diperah sendiri, tapis dengan penapis teh atau kopi yang lebih halus supaya tekstur bahagian bersantan tidak mengandungi hampas kelapa. Untuk menjimatkan masa, anda boleh gunakan santan di dalam kotak. Hanya tambahkan sebanyak 250 ml air pada 200 ml santan (1 kotak) bagi mendapatkan 450 ml santan (daripada 1 biji kelapa).

Untuk menyimpan agar-agar santan yang berpotong, pastikan anda lapiskan bahagian atas dengan bawah menggunakan plastik nipis. Ini adalah kerana lapisan merah mudah melekat warna merahnya pada bahagian bersantan.

Sekiranya anda tidak mahu menggunakan serbuk agar-agar, anda boleh gunakan agar-agar tali atau strands. Sukatannya sama tetapi hendaklah merendamkan ia selama 2 hingga 3 jam sebelum digunakan. Jerang dengan air atau santan saja sehingga agar-agar larut sepenuhnya sebelum dimasukkan gula. Jadi, cara memasaknya berbeza.

Dengan pengalaman anda membuat agar-agar santan ini, anda boleh cuba membuat empat lapisan pula. Hanya tuangkan separuh daripada bahagian merah kemudian biar keras sebelum dituangkan separuh lagi bahagian bersantan. Biar lapisan keras sebelum dituangkan lapisan merah pula. Pastikan lapisan merah tidak membeku di dalam periuk (sementara menantikan lapisan santan keras) dengan cara memanaskan ia di atas api paling perlahan dan dikacau selalu.

RESIPI AGAR-AGAR SANTAN

Lapisan Bawah

  • 900 ml air
  • 1 camca besar serbuk agar-agar
  • 130 gm gula pasir
  • ½ camca teh esen ros
  • Sedikit pewarna merah

Lapisan Atas

  • 450 ml santan (dari 1 biji kelapa)
  • ½ camca besar serbuk agar-agar
  • 90 gm gula pasir
  • 1 helai daun pandan, disimpulkan

Cara membuatnya

  • Jerang semua bahan lapisan bawah. Kacau sekali-sekala hingga mendidih.
  • Tuangkan ke dalam loyang berukuran 25 cm.
  • Jerang pula semua bahan lapisan atas atas api sederhana.
  • Kacau selalu. Bila mendidih, padamkan api. Keluarkan daun pandan.
  • Bila lapisan bawah sudah hampir keras, sendukkan agar-agar bersantan ke atasnya.
  • Biar keras baru disimpan di dalam peti sejuk.
Share This Article
More than 20 years experience in culinary industry. Expert in Malay cuisine.
Leave a comment
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x