fbpx

Benarkah Capati Ini Makanan Yang Lebih Menyihatkan Daripada Nasi?

Fazli
By Fazli

Ramai orang memilih capati kerana ia dikatakan lebih menyihatkan daripada nasi. Sebanyak 40 gram beras menghasilkan 1 cawan nasi iaitu 138 kcal. Manakala 1 keping capati seberat 40 gram adalah 136 kcal. Jadi, tidak banyak beza di antara keduanya.

http://www.mynewshub.cc/

Walau bagaimanapun, bila kita makan nasi kita akan makan pelbagai jenis lauk-pauk lain. Lauk itulah yang akan menambahkan kalori. Berbanding dengan capati yang selalunya dihidangkan dengan kuah dal atau kari. Pilih kari tanpa santan supaya kalori tidak bertambah.

Oleh kerana capati diperbuat daripada tepung atta, maka ia lebih mengenyangkan kerana kandungan serat atau fibernya. Secara dasarnya, setiap hidangan capati mengandungi 80 kalori, 15 gram karbohidrat dan 3 gram protein serta sedikit lemak.

Satu cawan tepung atta boleh menghasilkan lima keping capati. Ia tanpa kolestrol dan dapat membantu penghadaman serta melawaskan. Tepung atta atau tepung capati juga dikenali sebagai tepung gandum tulin (wholewheat flour) dan ia tidak perlu diayak sebelum digunakan. Supaya tahan lama, ia perlu disimpan di bahagian bawah peti sejuk.

Adunan capati jangan diuli terlalu lembik. Ini adalah kerana ia menjadi lebih lembut setelah diperap selama beberapa jam. Minyak sapi boleh digantikan dengan marjerin atau mentega. Anda juga boleh menggunakan minyak jagung bila memasak capati.

Adalah lebih sesuai menggunakan kuali leper yang berat kerana haba yang sekata. Jika anda menggunakan kuali yang terlalu nipis, capati akan mudah hangus. Panaskan kuali terlebih dulu kemudian perlahankan api ke tahap minima.

Pastikan juga capati tidak terlalu nipis bila dicanai. Capati yang nipis akan mudah hangus dan menjadi terlalu rangup. Sukar untuk mencicah kuah jika capati tidak tebal. Namun begitu, jika capati terlalu tebal, ia sukar untuk masak dan bahagian tengahnya akan berasa mentah. Jadi, canailah pada ketebalan yang sesuai, anggaran 2 hingga 3 mm.

Kaedah menekan sekeliling capati sebaik saja ia diterbalikkan akan memerangkap gelembung udara. Ini akan menjadikan capati lebih ringan. Sebaik saja diangkat dari kuali, letak di dalam bekas bertutup. Sebaik-baiknya tutup dengan tuala supaya capati kekal lembut dan panas. Untuk memanaskan capati di dalam ketuhar gelombang mikro, tutup terlebih dulu dengan cling-film.

Selain kari ayam atau ikan, kuah dal amat popular sebagai bahan sampingan capati. Kacang dal yang berwarna kuning itu mesti dibersihkan terlebih dulu sebelum direndam. Pastikan ia jenis besar dan sudah dibuangkan kulitnya.

http://srilankanfoodforever.blogspot.my/

Jika anda merendamnya semalaman, anda tidak perlukan masa yang lama untuk merebusnya. Jangan masukkan garam ketika merebus apa jenis kekacang sekali pun. Bagi kacang yang berkulit seperti kacang kuda, menambah garam semasa merebus akan membuat kulitnya tanggal.

Sukatan air bergantung sama ada anda inginkan kuah dal yang pekat atau agak cair. Jika kacang dal direbus lama, ia akan menjadi lebih hancur dan membuatkan kuah lebih pekat. Begitu juga dengan kentang. Bagi yang ingin kuah sedikit ‘manis’ bolehlah digantikan sebiji kentang dengan sebiji keledek.

Bagi penghidap penyakit kencing manis yang tidak boleh makan nasi, capati merupakan makanan alternatif yang menyihatkan. Anda boleh mengulinya banyak-banyak kemudian simpan di dalam bekas bertutup yang diletak di atas rak peti sejuk. Kira-kira 3 jam sebelum memasak, keluarkan dan biar pada suhu bilik sebelum dicanai.

Kaedah membuat kuah dal tidak menggunakan banyak minyak atau pun santan kerana ia akan pekat dengan sendirinya bila dal dan kentang empuk. Gunakan minyak zaitun bagi mendapatkan khasiat yang lebih. Untuk lebih rasa pedas, boleh taburkan serbuk lada hitam sejurus sebelum anda menghidangkannya.

Jika tidak habis menggunakan tepung atta, boleh dicampur ke dalam adunan biskut (gantikan 1/3 sukatan tepung gandum) atau kek seperti kek lobak merah atau kek buah yang bertekstur lebih berat. Tepung atta juga enak dibuat skon dan lebih berkhasiat daripada tepung gandum biasa.

Ikuti cara memasak capati disini:

Selamat mencuba!

Sila LIKE Facebook iCookAsia serta subscribe ke channel Youtube kami!

Share This Article
By Fazli
Follow:
test