Mungkin ada yang tidak pernah tahu Kuih Angku ini. Kuih ini merupakan kuih tradisi bagi kaum Peranakan Baba Nyonya. Sedap sangat! Dengan berinti Kacang Merah ini pasti anda akan suka.
Ia memerlukan acuannya sendiri untuk membuat Kuih Angku ini. Tapi jangan risau, senang je nak dapatkan acuan ini di kedai bakery berdekatan. Kedai DIY/Eco Shop pun sesetengah cawangan ada jual. Kalau anda ada acuan yang sesuai di rumah, boleh la cuba resepi ini. Rugi tau tak cuba!
Terima kasih Zura Zul untuk perkongsian resipi Kuih Angku ini 🙂
Bahan-bahan:
250gm tepung pulut
2 1/2 sudu besar tepung gandum
1 1/4 cawan santan (tak pekat sangat, tak cair sangat)
Sedikit garam
Pewarna hijau/ikut suka
Paste pandan (jika suka)
Inti kacang merah (boleh dapatkan di kedai bakery)
Cara membuat:
- Gaul-gaul tepung pulut, tepung gandum dan garam.
- Masukkan santan, pewarna hijau dan paste pandan sedikit demi sedikit.
- Uli sampai jadi doh dan tidak melekat di tangan.
- Acuan angku disapu sedikit minyak. Kemudian, ambil doh agak-agak kuantitinya, tekan pada acuan. Ambil inti kacang merah dan leperkan sedikit masuk/tekan sedikit atas doh dalam acuan.
- Ambil sedikit lagi doh dan tekan perlahan-lahan pada atas inti tadi. Kemudian ratakan kemas sambil tapak tangan dilumur sedikit minyak.
- Boleh cuba ketuk-ketuk acuan untuk keluarkan doh kuih itu. Kalau sukar untuk dikeluarkan, cuba guna lidi.
*Kita boleh agak-agak sebenarnya untuk nak keluarkan doh tu dari acuan.
- Dah siap, boleh alas/lapik dengan daun pisang.
- Pastikan air kukusan betul-betul mendidih dahulu dan api sederhana. Boleh kukus selama 7 minit.
*Santan boleh ganti 5 sudu besar minyak + air 1 cawan, tuang sikit-sikit dahulu. Kalau masih keras, tambah sikit air.
Siap! Anda jangan lupa untuk try buat di rumah, okay! 😉
Kredit resipi dan gambar: Zura Zul (Facebook)
Untuk dapatkan barangan dan perkakas memasak yang berkualiti pada harga yang berpatutan, layari https://shop.icookasia.com/
Layari dan Subscribe Channel YouTube iCookAsia untuk pelbagai resepi yang menarik – https://www.youtube.com/c/iCookAsiaChannel/videos