Asam Pedas ada banyak versi dan antara yang paling popular ialah Asam Pedas Johor style. Kuahnya pekat dan cukup rasa masam dan pedas. Memang sampai licin kuah dihirup. Makan pula dengan sambal belacan, ulam dan telur asin. Pergh.
Terima kasih Nor Khomariah Norrohman atas perkongsian resipi. Jelasnya, sebelum membeli ikan pari, pastikan cium dahulu ikan tersebut dan jika ada bau hancing, elakkan.
Bahan :
1 kg Ikan pari
20 tangkai Cili kering – direbus *
5 ulas Bawang merah*
1 biji Bawang besar*
3 ulas Bawang putih*
2 inci Kunyit hidup*
2 inci Halia*
Sedikit belacan*
1 sb Lada hitam – ditumbuk
10 tangkai Daun kesum
Bendi
1 batang Bunga kantan – belah 2. Jika tiada pun tak apa
1 cawan Air asam jawa
Minyak untuk menumis
Air secukupnya
Cara :
- Kisar bahan bertanda *.
- Kemudian panaskan minyak. Minyak kena lebih untuk menumis asam pedas, baru sedap. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak dan naik bau.
- Masukkan air asam jawa, daun kesum dan bunga kantan.
- Selepas itu masukkan ikan pari dan tambah air secukupnya. Asam pedas Johor tidak boleh cair tetapi jangan terlalu pekat.
- Perasakan dengan garam, gula dan perasa.
- Kecilkan api dan reneh sehingga ikan pari masak.
- Akhir sekali masukkan bendi. Jangan masak terlalu lama, nanti bendi lembik.
- Apabila bendi sudah lembut, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Kredit resipi & foto : Nor Khomariah Norrohman
Untuk dapatkan barangan dan perkakas memasak yang berkualiti pada harga yang berpatutan, layari https://shop.icookasia.com/