Inilah di antara masakan Barat yang sangat terkenal di mana-mana saja. Ia disajikan dengan sos biasa atau bercampur cendawan butang. Selalunya, ia dimakan bersama kentang goreng (fries), potongan sayur-sayuran iaitu kubis, bawang, lobak merah bercampur mayonis (coleslaw) dengan hiasan daun salad.
Bahagian ayam yang sesuai untuk chicken chop ialah paha dan pangkalnya. Anda perlu mengeluarkan tulang bahagian ini tetapi hujungnya (anggaran 2 cm) hendaklah dibiarkan. Ini bermakna, anda mesti memotong tulang yang selebihnya. Kulit ayam juga perlu dibuangkan supaya bahan salut boleh melekat dengan sempurna. Lagipun, kulit ayam mengandungi lemak yang tidak elok untuk kesihatan.
Potongan chicken chop ada juga yang dijual sudah dibuangkan tulangnya. Perapkan dengan serbuk lada sulah dan sedikit garam selama 1 jam. Pastikan ia dilap kering-kering dengan kitchen towel terlebih dulu.
Membuat adunan salut atau batter lebih mudah menggunakan pemutar belon. Ini akan menghasilkan adunan yang halus dan tidak berketul. Caranya adalah meletakkan semua bahan kering di dalam mangkuk. Dengan sebelah tangan menuangkan air, sebelah lagi mengacau campuran tersebut. Pastikan ia tidak terlalu cair. Bila kepekatannya elok, pukul dengan kuat selama beberapa saat kemudian biarkan selama 10 minit.
Celup potongan ayam dengan memegang dua bahagian jika ia besar. Ini adalah supaya potongan itu ‘leper’ dan dapat menyalut seluruh ayam. Kemudian salut dengan serbuk roti yang diletakkan di atas pinggan leper. Pastikan setiap bahagian bersalut dengan serbuk roti itu. Anda boleh sediakan beberapa keping sebelum mula menggoreng.
Sangat mudah menyediakan serbuk roti di rumah. Hanya letak reja roti atau kepingan yang tidak dimakan di atas rak peti sejuk. Anda tidak perlu membungkusnya. Biarkan selama 3 atau 4 hari dan roti akan menjadi keras. Pecahkan menjadi kepingan kecil. Kemudian kisar hingga halus. Simpan di dalam bekas bertutup. Letak di bahagian bawah peti ais. Ia tahan lama.
Selain itu, anda boleh beli serbuk roti di kedai. Ada dua jenis. Serbuk roti yang berwarna kuning akan menghasilkan kulit chicken chop kuning keemasan. Serbuk roti jenis ini sangat rangup kerana ia mempunyai campuran tepung jagung. Untuk lebih wangi, campurkan serbuk roti dengan kelapa parut yang sudah digoreng kekuningan. Anda akan dapati chicken chop anda juga rangup.
Gorenglah di dalam minyak yang banyak supaya mudah masak. Sebaik-baiknya gunakan deep-fryer yang berbakul khas. Jadi, sangat mudah bila hendak mengangkatnya. Untuk menggoreng dengan sempurna, pastikan api tidak terlalu kuat. Namun minyak mesti panas semasa anda memasukkan ayam itu. Jangan goreng terlalu banyak pada suatu masa. Suhu minyak akan turun mendadak dan ini menyukarkan ayam menjadi garing.
Bila ayam nampak keemasan, bolehlah diangkat dan ditoskan minyaknya. Keluarkan serdak yang masih ada di dalam minyak sebelum memasukkan potongan lain. Serdak yang terlalu lama digoreng akan menjadi hitam dan melekat pada ayam. Ini tentulah tidak menarik dipandang. Untuk mengurangkan serdak ini, pastikan minyak tidak terlalu panas waktu anda mula menggoreng. Anda juga mesti meletakkan ayam ke dalam minyak dengan cara yang lembut dan tidak ‘mencampakkannya’ begitu saja.
Untuk membuat sos, perlukan batang salderi atau celery. Sebaik-baiknya gunakan bawang besar jenis putih (Holland). Bawang besar jenis merah pula hanya sesuai untuk membuat gulai dan sebagainya. Ini adalah kerana rasanya yang lebih kuat dan boleh digandingkan dengan rempah atau cili.
Bahan paling penting bila membuat sos adalah mentega. Jangan gunakan marjerin kerana ia tidak sesuai. Kacau mentega dan tepung sehingga hampir keemasan. Kemudian tuangkan air dan masukkan semua bahan lain. Jika menggoreng terlalu lama, campuran boleh menjadi hangus dan pahit. Jadi, langkah pertama itu sangat penting. Ia akan menentukan samada sos sedap atau sebaliknya.
Ramai orang keliru tentang air rebusan ayam atau chicken stock. Air rebusan yang asli atau tulin diperbuat dengan merebus salderi, bawang, lobak merah, biji lada sulah dan rangka ayam selama beberapa jam. Kemudian biarkan semalaman. Buangkan lemak yang mengeras di permukaan. Masak hingga mendidih semula sebelum ditapiskan.
Jika anda tiada masa untuk membuat air rebusan ayam, campurkan 1 kiub pati ayam dengan air panas secukupnya. Anda juga boleh gunakan 1 camca besar stok pekat di dalam botol. Jika tidak memasukkan kiub, rasa sos kurang enak. Jangan letak terlalu banyak garam kerana kiub sudah agak masin.
Salah satu bahan penting adalah herba Italy (Italian herbs) yang dijual di dalam botol-botol kecil. Selain itu, boleh gunakan herba campuran (Mixed herbs). Ia adalah campuran herba kering oregano, rosemary, thyme dan dill. Campuran ini memberikan aroma masakan Barat yang sungguh menyelerakan.
Bagi yang suka pedas, campurkan sedikit serbuk cili ke dalam adunan salut. Anda juga boleh tambah serbuk lada hitam ke dalam sos. Jika mahukan sos berwarna gelap, campurkan lebih banyak kicap pekat atau kicap hitam. Sos ini boleh disimpan beberapa hari di dalam peti sejuk dan dipanaskan bila hendak dimakan.
Selamat mencuba!