fbpx

Cara Mudah Untuk Sediakan Puding Karamel Yang Enak dan Digemari Ramai

Fazli
By Fazli

Puding ini memang disukai oleh kanak-kanak sehingga ke orang tua. Ia juga boleh dikatakan agak mudah disediakan. Bahan-bahannya juga sangat senang didapati di mana-mana jua pun. Karamel adalah bahagian gula hangus di bawahnya tetapi bila diterbalikkan untuk disajikan, menjadi bahagian atas.

https://www.brecorder.com

Ada dua cara membuat Puding Karamel. Ada jenis yang dibakar di dalam ketuhar dan yang dikukus. Jika hendak dibakar, acuan berisi puding hendaklah diletak di dalam bekas atau tin yang lebih besar. Air mendidih dimasukkan ke dalam tin tersebut. Dengan cara ini, puding akan masak dengan wap daripada air panas dan ketuhar sekaligus. Kebanyakan puding yang bertekstur halus dan lembut menggunakan teknik ini.

Sementara puding jenis kukus mesti dikukus di atas api sederhana perlahan. Bahagian atas acuan perlu ditutup dengan kertas aluminium atau aluminium foil. Jangan ditutup ketat. Memadai dibentukkan seperti ‘bumbung’ dan diletak di atas acuan. Ini untuk mengelakkan wap pengukus menitis ke atas puding dan merosakkannya.

Bagaimana hendak mendapatkan puding karamel (jenis kukus) yang bertekstur halus? Anda mesti memukul telur dengan gula hingga gula larut. Jika tidak, butiran gula akan kelihatan bila puding anda masak. Sebaik-baiknya gunakan telur paling besar atau Gred A. Boleh menggunakan mesin pemutar pada tahap minima atau memukul campuran tadi dengan pemutar belon.

Sesetengah daripada kita mungkin mempunyai masalah utama iaitu membuat gula perang. Jadi, apakah caranya untuk sukar mendapatkan gula perang yang elok warnanya? Gunakan kuali kalis lekat atau non-stick bila membuat gula perang. Kuali berdasar berat atau heavy-based pan juga sesuai. Ini untuk mengelakkan gula hangus terlalu cepat dan baunya tidak harum.

https://www.bhg.com

Ada dua cara untuk membuat gula perang. Pertama, jerang gula pasir hingga keperangan, ketepikan dari api kemudian tuangkan air. Kacau atas api perlahan hingga gula hangus tadi larut sepenuhnya.

Satu cara lagi adalah menjerang air dan gula pasir di atas api sederhana. Kacau sekali-sekala hingga gula larut. Kemudian biarkan hingga campuran air gula pekat dan berbuih halus. Waktu ini anda hendaklah perhatikan selalu kerana air gula akan menjadi cair semula. Warnanya akan berubah dari kuning pucat ke perang keemasan. Segera angkat dan tuangkan ke dalam acuan atau tin berlengser marjerin. Kemudian baru dituangkan campuran telur yang lain.

Jangan dibiar gula hangus terlalu lama di dalam periuk walaupun sudah diangkat dari api kerana ia akan terus hangus dengan kepanasan periuk. Bila gula menjadi terlalu hangus dan menjadi perang gelap, ia akan berasa pahit. Ini akan merosakkan rasa puding anda.

Kenapa kadang kala bahagian gula hangus terpisah daripada pudingnya? Ini adalah kerana anda tidak terus menuangkan campuran telur ke atasnya. Jika anda menunggu lama, lapisan gula hangus mungkin mengeras. Inilah sebabnya bila anda terbalikkan puding yang sudah masak, lapisan gula hangus melekat di dalam acuan.

Selain susu cair, susu segar atau susu UHT juga boleh digunakan. Sukatan air dan susu sama banyak. Jadi, anda hanya perlu gunakan tin susu yang sama untuk mengisi air. Jika anda inginkan warna puding yang lebih kuning, boleh ditambah sedikit pewarna kuning atau gantikan tepung jagung dengan tepung kastard.

Untuk mengetahui samada puding anda masak, cucuk bahagian tengahnya dengan hujung pisau tajam. Jika anda menarik keluar pisau, ia hendaklah kelihatan licin dan tidak melekat dengan adunan. Biar puding di dalam acuan hingga sejuk. Kemudian letak di dalam peti sejuk selama 2-3 jam barulah diterbalikkan ke dalam mangkuk. Jika anda mengukus di dalam bekas-bekas kecil, masa mengukus lebih pendek. Sajikan dengan buah-buahan, jika suka.

Selamat mencuba!

Sila LIKE Facebook iCookAsia serta subscribe ke channel Youtube kami!

Share This Article
By Fazli
Follow:
test