Kuih cucur jawa atau Penyaram cukup enak dimakan panas-panas, lebih-lebih lagi kerak di sekelilingnya. Cara membuatnya cukup mudah dan disini, pemilik resipi Ena Naeysa Naem turut berkongsi cara menyediakan kuih cucur jawa untuk difrozenkan.
Resipi ini boleh menghasilkan 25 biji kuih dengan syarat menggunakan cawan yang sama untuk sukatan. Sukatan gula juga tidak boleh dikurangkan kerana cucur tidak akan kembang.
Bahan :
2 cawan Tepung gandum
2 cawan Tepung beras (cap apa pun boleh)
2 cawan Air biasa
1 cawan Gula pasir
1/2 cawan Gula merah
Cara :
- Gaulkan semua bahan dan kemudian tapis. Perap selama satu jam dan sedia untuk digoreng.
- Gunakan api kecil dan sedikit sahaja minyak untuk menggoreng. Pastikan minyak panas, jika kurang panas, buang di bahagian tepi tidak menjadi.
- Pemilik resipi menggunakan satu sudu sup setiap kali menggoreng.
- Goreng sehingga tiada adunan tepung mengalir di bahagian tengah. Tidak perlu diterbalikkan.
- Jika sudah masak, angkat dan tos minyak.
- Untuk frozenkan, goreng cucur sehingga cukup masak dan tidak perlu garing. Angkat dan sejukkan. Selepas sejuk boleh terus diletakkan dalam plastik dan simpan di bahagian sejuk beku.
- Jika nak makan, keluarkan dan tunggu sehingga mencapai suhu bilik dan goreng seperti biasa sehingga garing.
- Jika tidak mahu menggunakan gula merah, boleh tukar kepada gula pasir namun rasanya berbeza.
- Jika ingin membuat perasa pandan, kisar daun pandan dengan air, tapis dan sukat sehingga dua cawan.
Kredit resipi & foto : Ena Naeysa Naem
Untuk dapatkan barangan dan perkakas memasak yang berkualiti pada harga yang berpatutan, layari https://shop.icookasia.com/