fbpx

Info Penting Mengenai Bubur Untuk Rujukan Anda Sebelum Memasak

Fazli
By Fazli

Bila bercakap tentang bubur, dua sajian yang selalunya terlintas di fikiran kita adalah jenis manis dan pedas. Bubur nasi menjadi kegemaran tidak kira yang tua mahupun yang muda. Ia mungkin sajian pertama yang diberikan oleh ibu kepada bayi yang mulai makan makanan pepejal lain selain susu. Bubur juga menjadi hidangan utama bagi sesiapa yang menghidap penyakit bersangkutan dengan perut kerana sifatnya yang mudah hadam.

Bubur Lambuk merupakan bubur pedas yang menjadi kegemaran ramai terutama pada bulan Ramadan. Ia ada pelbagai campuran sayur-sayuran dan dedaun herba yang amat wangi dan membangkitkan selera. Membuatnya juga tidak sukar. Lagipun, dengan daging atau ayam, ia menjadi hidangan yang lengkap.

https://www.wanista.com

Bubur jenis manis yang cukup popular tentulah Bubur Kacang Hijau. Ia memang sedap dihidangkan ketika panas atau sejuk. Selain kacang hijau, Bubur Kacang Merah juga tidak kurang enaknya. Membuat bubur sangat mudah tetapi ramai juga yang masih tidak tahu bagaimana hendak menghasilkan bubur yang sempurna dari segi rasa, warna dan tekstur.

https://resepimudahsedap.info

Apakah bahan lain yang boleh dibuat bubur? Antaranya, jagung, nangka dan gandum. Kenapa bila pisang dibuat bubur, ia dipanggil pengat? Kita tidak pernah mendengar orang berkata, ‘Bubur Pisang’ atau ‘Bubur Keledek’. Apakah perbezaan di antara bubur dan pengat? Pengat adalah lebih pekat dibandingkan dengan bubur. Pengat selalunya dibuat dengan pisang, labu, keledek, keladi, ubi kayu, sukun dan lain-lain.

http://iresipi.com/

Hanya sesetengah pisang seperti pisang raja, pisang abu, pisang nangka atau pisang awak yang sesuai dibuat bubur. Pisang boleh dihiris terus ke dalam campuran santan, gula dan daun pandan. Manakala keledek, keladi dan labu perlu direbus atau dikukus hingga empuk sebelum dicampurkan dengan bahan tersebut.

Di sebelah Malaysia Timur, pengat juga dikenali sebagai ‘kolak’. Rasanya sama tetapi ia berkuah putih, tidak seperti pengat yang berkuah kecoklatan kerana menggunakan gula merah atau gula melaka. Namun begitu, durian bila dibuat bubur dikenali pula sebagai ‘Serawa’. Pada musim durian, adalah menjadi amalan atau kemestian untuk memasukkan beberapa ulas durian ke dalam apa saja bubur. Campuran durian memberikan aroma yang sangat menyelerakan.

http://www.raikankasih.com/

Jadi, apakah bahan penting semasa membuat bubur? Tentu sekali, santan. Santan cair dijerang dengan gula melaka, gula pasir, sedikit garam dan daun pandan. Sementara santan pekat atau pati santan dimasukkan setelah bubur hampir masak.

Petua penting bila membuat bubur adalah mengacaunya selalu supaya santan tidak pecah minyak. Jika santan menjadi berketul, bubur menjadi kurang sedap. Jadi, pastikan api tidak terlalu kuat. Bubur juga tidak boleh dimasak terlalu lama. Bila santan naik minyak, rasa bubur yang asli dan sebenar akan hilang.

Bila membuat bubur dengan kacang, pulut hitam dan sebagainya, rendam dulu selama 2 hingga 3 jam. Ini akan memendekkan masa merebus. Bila merebus kacang, jangan dimasukkan garam kerana ini akan melambatkan masa untuk kacang empuk. Beberapa hirisan halia juga dibubuh ke dalam Bubur Kacang untuk mengelakkan perut kembong bila memakannya.

Jagung pula perlu diambil isinya dengan memegang tongkol secara memanjang. Hiris nipis dari pangkal ke hujung. Kemudian buat hirisan kali kedua dengan cara yang sama. Hirisan ketiga adalah yang paling hampir dengan empulur. Dengan cara ini, kesemua isi jagung dapat dikeluarkan. Jagung tidak perlu direbus terlebih dulu.

Bubur tidak akan lengkap tanpa daun pandan. Sebaik-baiknya, koyak memanjang daun pandan sebelum disimpulkan supaya kewangiannya lebih nyata. Pilih gula melaka yang terbaik dan berbau harum. Jika menggunakan gula merah, masak dulu dengan sedikit air hingga larut kemudian tapiskan ke dalam bubur. Gula pasir juga perlu dicampur untuk menyempurnakan kemanisannya. Akhir sekali, bubuh sedikit garam supaya santan terasa lebih lemak.

Bolehkah digantikan santan dengan susu cair? Tentu saja boleh tetapi pastikan susu dituangkan pada akhir masa memasak. Kacau hingga mendidih sekali kemudian angkat. Untuk memekatkan bubur, sagu biji atau sagu mata ikan juga boleh dimasukkan. Ia sering dicampurkan sebaik saja santan mulai mendidih. Sagu hanya perlu dibilas dengan air terlebih dulu. Jika menggunakan caca berwarna-warni, hendaklah direbus hingga empuk sebelum mencampurkannya ke dalam bubur bersama santan pekat. Ini untuk mengelakkan ia terlebih masak dan memekatkan lagi bubur.

Sudahkah anda mencuba resipi Bubur Kacang Hijau ini?

Selamat mencuba!

Sila LIKE Facebook iCookAsia serta subscribe ke channel Youtube kami!

Share This Article
By Fazli
Follow:
test