Zaman sekarang tentunya ibu-ibu lebih cakna dalam bab menjaga pemakanan keluarga kan? Jika boleh, elakkan makanan berproses kerana ia mempengaruhi kesihatan dan tumbesaran anak-anak. Dan banyak perkongsian resipi secara homemade yang boleh dibuat di rumah. Apa yang pasti, status halal dan kesuciannya tentu terpelihara kerana dibuat sendiri dengan penuh kasih sayang.
Resipi mee secara homemade oleh Norain Naim ini cukup bagus dipraktikkan untuk pemakanan sihat keluarga. Cara membuatnya juga cukup mudah kerana hanya memerlukan empat bahan. Malah tidak perlu bersusah payah nak menarik mee menjadi panjang, hanya potong mengikut saiz yang disukai.
Bahan :
300 gm Tepung gandum
1 biji Telur
Sedikit garam
Air suam
Cara :
- Satukan semua bahan dan tambahkan air suam, hanya agak-agak sehingga doh tidak melekit di tangan. Jangan terlalu lembik. Jika lembik, tambahkan sedikit tepung.
- Uli sehingga menjadi doh dan canaikan senipis mungkin.
- Sewaktu dicanai, taburkan tepung sedikit supaya doh tidak melekat. Selepas itu lipatkan doh untuk memudahkan ia dipotong, ini bagi mereka yang tiada mesin.
- Selepas itu potong nipis-nipis mengikut saiz yang disukai.
- Rebus selama lima minit atau sehingga mee lembut.
- Toskan mee tadi ke dalam air sejuk atau air berais supaya mee tidak terlebih kembang. Letakkan sedikit minyak supaya mee cantik berderai.
- Mee yang sudah siap boleh dimasak mee goreng, mee sup atau mee kari.
- Tidak perlu letakkan pewarna. Namun jika suka, boleh letakkan sedikit serbuk kunyit.
Kredit resipi & foto : Norain Naim
Untuk dapatkan barangan dan perkakas memasak yang berkualiti pada harga yang berpatutan, layari https://shop.icookasia.com/