in , , ,

Kerabu Peria, Sekali Makan Terus Jatuh Cinta. Ada Tip Hilangkan Rasa Pahit.

Sebut sahaja peria, mesti ramai yang terbayang rasa pahitnya kan? Walhal sayuran ini kaya dengan khasiat, mampu mengurangkan kadar kolestrol dan menstabilkan gula dalam darah.

Ada beberapa cara yang boleh digunakan untuk memilih peria sebelum diolah menjadi menu yang menarik dan enak. Kalau boleh, pilih peria muda kerana semakin tua peria, semakin jelas rasa pahit terasa.

Sebelum memasak, pastikan buang biji peria bagi mengurangkan rasa pahit dan hiris nipis. Kemudian tabur garam dan ramas peria sehingga keluar air. Buang air tersebut dan tuangkan pula air panas dan bilas sehingga bersih.

Selain itu, peria juga boleh direbus sebentar dengan cuka bersama garam dan gula. Rebus sekadar layu dan toskan. Kemudian bolehlah dimasak ikut menu yang disukai.

Menu perkongsian Annastasia Anne ini bukan calang-calang, resipi peninggalan arwah ibu mertuanya cukup menggamit rasa. Sekali makan, memang terus jatuh cinta.

 

Bahan :

3 ekor Ikan Sardin / Selayang – rebus dan ambil isi

1 sk Lada hitam

1 labu Bawang besar

3 sb Kelapa parut putih

Garam dan gula

Cili padi

Santan

 

Cara :

  1. Hiris nipis sebiji peria yang sudah dibuang biji. Kemudian ramas dengan air yang dicampurkan dengan satu sudu besar garam.
  2. Rebus sebentar untuk melembutkan peria dan toskan.
  3. Tumbuk lada hitam dengan setengah labu bawang besar.
  4. Kemudian masukkan isi ikan dengan kelapa parut. Tumbuk sebati dan satukan dengan peria.
  5. Perasakan dengan gula dan garam. Kerabu ini kena manis sedikit, baru bertambah sedap.
  6. Baki kelapa parut diperah menjadi santan air dalam setengah cawan. Gunakan air masak sewaktu perah. Tuangkan ke dalam kerabu peria.
  7. Akhir sekali, hiris bawang besar dan cili padi. Gaul rata.

Kredit resipi & foto : Annastasia Anne

Untuk dapatkan barangan dan perkakas memasak yang berkualiti pada harga yang berpatutan, layari https://shop.icookasia.com/

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Loading…

0