Hanya gunakan satu adunan, pau kukus boleh dipelbagaikan dengan pilihan inti kegemaran masing-masing. Resipi pau perkongsian Rosaslinda Md Nor ini menghasilkan pau yang cukup gebu dan lembut, sesuai untuk dibuat jualan.
Bahan :
1 kg Tepung pau – ayak
1 sk Baking powder – ayak
1 sk Garam
1/2 cawan Minyak jagung / minyak masak
2 1/4 cawan Air
11 gm Yis
1 sb Gula
2 sb Susu pekat manis
1 biji Telur
Cara :
- Ayak tepung pau dan baking powder bersama.
- Kemudian satukan semua bahan kecuali tepung dan kacau sehingga gula larut.
- Masukkan tepung yang diayak ke dalam mangkuk besar dan tuangkan adunan cecair sedikit demi sedikit sambil diuli menjadi doh yang lembut dan tidak melekat pada tangan.
- Kemudian tutup doh dengan kain selama 5 minit.
- Selepas itu, ambil doh dan bulatkan sebesar bola pingpong (anggaran berat 35 gram). Kemudian leperkan.
- Masukkan inti yang telah dibulat-bulatkan sebesar guli (anggaran berat 12 gram). Tutup dan kemaskan.
- Letakkan doh di atas lapik kertas minyak yang dipotong segi empat atau bulat, atau letakkan atas paper cup yang dileperkan sedikit.
- Susun dalam rak kukusan dan jarakkan sedikit antara satu sama lain.
- Biarkan doh naik satu kali ganda. Jangan terlalu naik kerana ia akan mengecut apabila dikukus dan membuatkan permukaannya keras dan menggerutu.
- Pastikan pengukus telah dipanaskan terlebih dahulu sehingga airnya betul-betul mendidih. Balutkan tutup pengukus dengan kain supaya air kukusan tidak menitis atas pau yang membuatkan permukaan pau berkawah.
- Kukus pau selama 7 hingga 10 minit.
- Jika ingin membuat setengah adunan, kurangkan jumlah air, gula dan susu pekat. Sukatan yis tetap sama.
- Inti kaya dan kacang merah boleh dibeli di kedai bakeri.
Tips untuk frozen :
- Setelah pau sejuk daripada redai, simpan dalam bekas plastik yang kedap udara. Masukkan ke dalam bag plastik pun boleh.
- Simpan di dalam peti ais.
- Apabila nak makan, keluarkan dan kukus semula selama 1 minit
Kredit resipi & foto : Rosaslinda Md Nor
Untuk dapatkan barangan dan perkakas memasak yang berkualiti pada harga yang berpatutan, layari https://shop.icookasia.com/