Diketuai Chef Ahmad Sandi Jauhari, Radisson Hotel dari Brunei menjuarai First World Halal Culinary Championship dengan jumlah markah 84.9. Pasukan ini turut memenangi Hidangan Pembuka Selera Terbaik dan Hidangan Utama Terbaik.
Menurut Chef Ahmad, walaupun punya masalah kekurangan air dan bahan sewaktu saingan, namun kerjasama padu antara pasukan penyebab utama kejayaan.
“Ini merupakan pencapaian terbaik kami dan Hotel Radisson. 14 tahun dalam industri kulinari, tekanan masa bukanlah perkara baru dan apa yang boleh dikatakan, chef umpama ahli magis. Apa sahaja yang berada di depan mata, kami akan cipta keajaiban dengannya.
“Dengan kerjasama luar biasa pasukan, kami berjaya mencipta menu baru untuk dihidangkan kepada juri dan tetamu walaupun berhadapan dengan masalah air di dapur dan bahan utama,” jelas Chef Ahmad kepada IcookAsia.
Melihat kepada sisi juri profesional, Chef Rezal Osman, terdapat beberapa kriteria utama dalam pemilihan pemenang.
“Dalam pertandingan ini, penjurian terbahagi kepada dua, di dapur dan meja. Di dapur, kami mengambil kira aspek kebersihan, cara kerja, penyediaan dan masa penyediaan.
“Untuk aspek rasa, kami menimbangkan cara penyediaan bahan yang diberi, rasa, persembahan dan adakah hidangan yang betul seperti tertera di menu,” jelasnya memuji prestasi pasukan muda yang turut bertanding.
Rizqun Hotel Brunei menyandang tempat kedua dan berjaya merangkul Hidangan Pencuci Mulut Terbaik. Manakala tempat ketiga dimenangi pasukan IBTE 1 dari Brunei dan pasukan ICA B dari Indonesia di tangga keempat.
Untuk Cabaran Kotak Hitam, setiap pasukan diberikan bahan misteri yang mengandungi Udang Kara dan Kekapis untuk pembuka selera, Udang dan Daging Batang Pinang untuk hidangan utama dan Keju Krim untuk hidangan pencuci mulut. Dua jam diberikan untuk mencipta Hidangan Asean Fusion.
Buat julung kalinya, World Halal Culinary Championship 2019 mengambil bahagian dalam BIMP-EAGE Culinary Challenge di International Convention Center, Brunei Darussalam dan di mana 12 pasukan merebut gelaran juara.